Saturday, June 4, 2011

orang istimewa

Tidak pasti blog ini pernah dibaca sesiapa, sengaja untuk menulis; kalau terus dari hati, harus juga dari bahasanya;

I met this wonderful person, he is so special. Special in his own way that my very eyes could only see, because I'm blind; I could only feel by my heart. 

Everything about him is the sailing through tides,  the biggest tides, at night alone; but I can close my eyes and sleep tight every night; because I can touch the SAFE button.

And in my every prayers, his name would appear last, after the first, the second, the third, the forth, the fifth, the sixth, the seventh, the, the, the,...............,,, I pray that next time, the next prayer, his name is the third, after the first and the second.

I have to tell you, orang istimewa, I'm in that four letters.
 

Sunday, March 20, 2011

Felix catus

Saya sangat sayang haiwan.  Kadang-kadang rasa kucing-kucing di rumah tu lebih menyayangi saya daripada saya menyayangi mereka.

Saya mempunyai dua ekor kucing; Yen dan Bah. Sangat unik dan dinamik. Yen diambil dari sebuah kedai makan, entah apa yang menarik sangat waktu makan tu tak tahulah. Lepas bayar dapat sekali cenderahati. Yen sangat manja, mengalahkan adik sendiri. Setiap malam saya perlu teman dan dodoikan dia tidur. Dan setiap malam dia akan merengek (baca: meaw...meaw) suruh saya bawa dia ke bilik saya. Kalau tak diikut apa yang diminta, habislah buku yang tengah dibaca, lebih teruk lagi kalau sedang menggunakan laptop, dia akan tidur di atas keyboard tanda protes. Berat Yen lebih kurang 6kg. Sangat berat dan tapi fizikalnya tidak gemuk. 

Bah adalah mangsa banjir baru-baru ni. Dia telah diselamatkan dan ditinggalkan di hadapan rumah saya. Keadaan kesihatannya sangat teruk waktu itu. Dia selsema, demam, batuk, segala macam penyakit. Kali pertama tengok, ingatkan betina, riuh-rendah seronok Yen dapat girlfriend. Dua kali tengok rupanya jantan, tersembunyi sikit. Dia tidak semanja Yen, tapi dia memiliki sifat-sifat yang hebat bagi kucing. Suatu hari tu, Yen telah dibelasah oleh seekor kucing jantan yang memonopolikan kawasan sekitar rumah saya. Habis badan Yen dipenuhi kekotoran termasuklah air kencing dan darah. Bah pergi kepada Yen dan menjilat bulu Yen yang kotor. Terharu tengok, mereka bukannya adik-beradik tapi kasih sayang Bah yang tiada tara. Lebih sedih lagi bila tengok Yen selalu tak mahu main dengan Bah. Maklumlah Yen kucing macho, Bah pulak kebudak-budakan. 

Satu lagi kisah kasih sayang Bah apabila seekor kucing betina di rumah saya telah melahirkan tiga ekor anak. Setiap kali si ibu makan (terpaksa meninggalkan anak-anaknya), Bah akan menjadi bapa saudara prihatin memastikan anak-anak kucing itu dalam keadaan baik. setiap hari Bah yang akan memandikan anak-anak kucing ini (mak kucing tengok je). Sangat unik bila seekor kucing jantan dewasa yang selalunya akan membunuh anak kucing, menjaga dan membelai anak-anak kucing tersebut.

Keadaan kesihatan Bah sekarang ini sangat membimbangkan. Dia alergic pada ikan, kalau tersalah bagi, habislah bawah ketiak dia akan bernanah. Dia selalu mendapat serangan sawan. Luluh hati tengok waktu dia bertarung nyawa ketika sawan. 

Saya menulis dalam kerinduan yang teramat pada kedua-dua kucing ini. Walhal jumpa selalu. Bunyi dan wajah pertama yang akan saya lihat pada setiap pagi adalah Yen dan Bah, kerana mereka jam loceng terbaik yang pernah saya ada. Tepat pukul 5.30 pagi mereka akan datang kejutkan dengan pelbagai cara (sampai tak sanggup lagi nak sambung tidur). Peliknya mereka hanya kejutkan saya seorang, sedangkan ada lagi empat orang yang amat menyayangi mereka di rumah saya. 

yang mana Bah? yang mana Yen?
cuba teka

Tuesday, November 9, 2010

Segalanya

Banjir sudah surut. Hujan masih renyai-renyai. Kuasa alam yang bermula dengan beberapa titik air hingga memusnahkan kepandaian manusia yang selalu didewakan. Dalam tempoh 23 tahun saya hidup, alhamdulillah, kebayakkannya berada di Alor Setar, inilah pertama kali saya menyaksikan Alor Setar yang hampir lumpuh. Beberapa jalanraya dinaiki air, kawasan perumahan seumpama tasik bergenang air. Saya sangat bersimpati kepada semua mangsa banjir. Mereka telah kehilangan beribu-ribu ringgit. Tidak ketinggalan, jiran tetangga yang tinggal berhampiran rumah saya, sungguh terharu melawat mereka di pusat pemindahan banjir. Banjir tak kenal sesiapa, berapa banyak rumah orang-orang kaya yang turut ditenggelami air. Cumanya, ramai antara mereka berpindah ke hotel-hotel di Sungai Petani dan Pulau Pinang, atau ke rumah saudara-mara yang terdekat. Siapa sanggup berpanas-panasan dengan ribuan manusia lain. Namun, ia adalah satu kepasrahan untuk terus hidup dalam serba kekurangan.

Lebih malang lagi, segalanya dipolitikkan ( maaf ya, saya sudah matang untuk melihat setiap yang berlaku, dan saya juga berfikiran sangat terbuka dab keras bersuara). Saya percaya banyak rakyat Malaysia sependapat dengan saya, di atas pagar, atau lebih merunsingkan ada yang tidak pernah ambil pusing senario politik di Malaysia. Banyak alasan diberikan, dan saya ada alasan saya sendiri. Saya sudah jemu menonton siaran berita hanya untuk membidas, berhujah, dan mempolitikkan banjir ini tapi menutup mulut generasi baru daripada berkata apa-apa. Pada pandangan saya, kita usah memperlekehkan orang lain, tetapi menambah baik diri sendiri. Saya percaya saya akan memangkah parti politik yang bisa membawa mandat rakyat setulusnya pada PRU akan datang. Dan percayalah, saya bukan mudah dipengaruhi oleh orang lain.

Saya telah mendaftar untuk pilihanraya, anda bila lagi?


Sunday, October 17, 2010

bahasa jiwa bangsa

Bulan Bahasa Kebangsaan sepatutnya menjadi medium yang sangat jitu untuk memartabatkan bahasa Melayu. Sekadar berkongsi pandangan.

Saya pasti ramai antara kita menonton filem-filem Tan Sri P. Ramlee. Melihat kekuatan dialognya sehingga hari ini, generasi muda seperti saya mampu mengingatinya. Terima kasih kepada stesen televisyen kerana menayangkan filem-filem ini. Waktu kecil dahulu, persoalan yang sering timbul, adakah datuk dan nenek saya bertutur dalam slanga bahasa seperti dalam filem. Sangat berbeza dengan pertuturan seharian datuk dan nenek saya berbanding dialog dalam filem. Kemudian saya faham, kami orang Kedah, loghat lain sikit.

Seterusnya filem-filem tahun 90-an (tahun sebelumnya saya belum lahir dan tidak banyak diketengahkan karya 70-an dan 80-an). Dari segi pakaian, hiasan dalaman rumah, tata rias pelakon sangat berbeza. Kalau dahulu fesyen adalah seluar ketat warna-warna terang, cekak di rambut, rambut  pun masih kembang-kembang, sekarang ini kebanyakan watak moden memakai skirt ( ada yang sanagt pendek), rambut pun sudah tidak kembang lagi. Bahasa yang hampir sama : ROJAK

Dan hari ini, warga kota kebanyakannya berbahasa rojak. Kalau pun cuma tahu I, AND, YOU, SO. Kadang-kadang sangat kelakar. Kononnya ada kelas, tapi secara ilmiahnya, sangatlah menyakitkan. Saya terbayang-bayang, kalaulah mat salleh boleh faham apa yang diperkatakan mereka. " Kereta I warna biru", bukankah sepatutnya "My car". Pokok pangkalnya ROJAK ini telah merosakkan kedua-dua bahasa, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Yang dok cakap bahasa rojak ni kalau suruh pi sembang dengan mat salleh takut teketaq lutut,  tak tau hat lain dah.

Waktu di universiti, kelas saya cuma saya seorang Melayu, majoritinya orang putih. Kawan saya, Jordan fasih empat bahasa, ibunya tinggal di Afrika dan mereka sekeluarga pernah tinggal di China. " Hey I know how to count in Malay, satu,dua tiga" walaupun bunyi sangat pelat. Dan kebanyakan mat saleh ni belajar Bahasa Melayu di sekolah dan di kolej. Kita saja yang guna bahasa tidak pernah betul.

Sudah semestinya kita cintakan, bangga dengan bahasa kita. Tok sah dok tegeliat lidah, konon nampak hebat, mak tok tengok hudoh ja pon. Belajarlah Bahasa Inggeris, sampai fasih, boleh tulis tak salah tatabahasa lagi, baru ada kelas.

Thursday, September 30, 2010

kanak-kanak

Saya sangat tertarik dengan satu tulisan  dalam Mingguan Malaysia berkaitan keseronokan kanak-kanak zaman 60an, 70an. Cerita penulis sangat mirip cerita ibu saya. Bermain bersama kawan-kawan sekampung, sentiasa mencari idea kreatif membentuk permainan yang menyeronokkan. Plastik dan pin boleh dijadikan kerongsang, tempurung kelapa sudah boleh menghasilkan pelbagai peralatan dapur. Dulu-dulu selalu teringin untuk menjadi kanak-kanak zaman ibu saya, kanak-kanak pasca merdeka.

Saya menjadi kanak-kanak pada tahun 90an. Komputer pertama kami ketika saya 6 tahun (1992). Kami sangat teruja, tapi aplikasi waktu itu tidaklah secanggih komputer hari ini. Saya tergolong dalam katogeri ulat buku, tapi saya akan mengambil peluang emas waktu mengaji Al-Quran waktu petang untuk bermain; lompat getah, galah panjang dan lain-lain. Zaman ni dah tak payah nak kreatif untuk cipta permainan. Semuanya mampu dibeli. Dari barang permainan jenama terkenal (tentulah zaman tu saya inginkan Barbie) atau permainan made in China yang murah harganya.

Kemudian generasi kanak-kanak pasca millenium. Kanak-kanak yang sekarang ini sedang memenuhi cyber cafe, jejari pantas menggunakan keyboard, sesekali mereka menjerit " tembak! tembak!", " bunuh yang tu" dll. Memang asyik bermain game, maklumlah UPSR dah habis. Ibu saya guru sekolah rendah di luar bandar. Melihat taraf hidup dan pendidikan keluarga sangat menyedihkan. Ramai juga kanak-kanak yang tak berayah beribu keranan mak dan ayah di penjara atau dalam pusat pemulihan. Ramai menjadi samseng walaupun pada usia sangat muda. Sudah tidak pandai bermain lagi, tak pandai bergurau. Kalau kena sepak, terajang dibalas. Beberapa minggu lepas saya menemani adik saya ke sukaneka prasekolah. Comel kanak-kanak ni, lari dalam guni, bawa bola pimpong. Saya membantu guru adik saya mengasuh kanak-kanak bertuah ini. Sangat sedih melihat adik-adik ini tak pandai bermain, sep sep sep pun tak berapa tahu (atau mungkin mereka malu dengan saya). Sikit-sikit main tendang-tendang, lari keliling padang.

Entah macam mana zaman kanak-kanak anak saya nanti, tak tahulah bila. Jangan jadi robot sudah

Friday, September 3, 2010

lompat si katak lompat

Kehidupan saya selama ini dalam kelompok cream of the cream. Belajar di sekolah berasrama penuh kemudian melanjutkat pelajaran ke Melbourne, Australia. Saya sentiasa dikelilingi rakan-rakan yang stelah mengumpul sangat banyak A. Belajar bersama pelajar terbaik setiap negeri di Malaysia. Kumpulan sosial saya terbatas pada cerdik pandai sahaja. Mereka yang celik IT, kebanyakan pandai berbahasa Inggeris dan dari sosio ekonomi yang stabil. Waktu belajar di Melbourne, mesti kembang kucup menyebut nama universiti itu. Maklumlah, rakyat Australia sendiri sukar mendapat tempat di University of Melbourne.

Kemudian saya pulang ke kampung halaman. Sebuah pekan kecil di utara negeri Kedah. Saya tumpang gembira melihat perubahan besar di pekan ini semenjak saya merantau di negeri orang. Sudah banyak kawasan perumahan didirikan, kawasan perindustrian pun tumbuh bagai cendawan. Jalan sentiasa penuh dengan kereta. Dan ini bermakna, kumpulan  sosial saya sedikit berubah walaupun hakikatnya saya bukanlah jenis mesra alam. Jiran sebelah rumah pun tak berapa kenal. Ia adalah satu cabaran yang besar dalam hidup saya, sangat sukar untuk berinteraksi teerutamanya dengan mak cik-mak cik di masjid waktu solat tarawih.
Namun begitu, sebagai pemerhati sepenuh masa, saya mengagumi beberapa insan. Mereka yang selama ini tidak pernah saya fikirkan sangat. Salah seorangnya adalah pelayan kedai roti canai yang sangat terkenal di pekan ini. Umurnya mungkin sebaya saya atau lebih muda. Namun kesungguhannya mencari rezeki sangat memukau mata. Saya boleh bergoyang kaki kerana termasuk dalam tanggungan keluarga. Dia bekerja bermula jam 7 pagi hingga pukul 12 tengahari di kedai roti canai, kemudian bekerja pula dari pukul 5 petang hingga tengah malam di kedai bihun sup. Dia sangat cekap melakukan tugasnya walaupun pada mata para professional, apalah sangat kerja itu. 

Banyak lagi kisah-kisah yang menyentuh hati sejak tinggal di pekan ini. Terlalu banyak untuk dipelajari


Sunday, August 29, 2010

tanggal 31 bulan 8

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan Tanah Melayu ke-53.

Jika dibandingkan seorang manusia berusia 53 tahun, tentunya kini pegawai tinggi kerajaan, berusaha sekeras-kerasnya menabur bakti. Mungkin juga konglomerat disegani ramai, punya perusahaan besar bernilai billionan ringgit. Atau sibuk menjaga cucu, maklumlah anak-anak sibuk bekerja di bandar besar, kadang-kadang mengeluh, susahnya mencari masa nak ke kelas-kelas agama. Namun ada juga pada usia ini meringkuk di penjara, kerana kesalahan masa lalu juga kesalahan usia tua.

Dan begitulah Malaysia. Sudah jauh maju berbanding 53 tahun yang lalu. Kebanyakan anak muda berjaya ke menara gading. Senyum bangga mak dan ayah saat anak mereka memakai regalia bertopi kotak. Pastinya ada juga yang kecundang menjadi duri dalam daging umat. Mereka jugalah yang berzina, lahir anak dibuang-buangkan. Mereka jugalah yang cemerkap, nampak duit sikit hilang segala pertimbangan. Kalau boleh semuanya nak disonglap.

Untuk Malaysia yang tercinta, saya akan berjuang mempertahankan anda