Sunday, October 17, 2010

bahasa jiwa bangsa

Bulan Bahasa Kebangsaan sepatutnya menjadi medium yang sangat jitu untuk memartabatkan bahasa Melayu. Sekadar berkongsi pandangan.

Saya pasti ramai antara kita menonton filem-filem Tan Sri P. Ramlee. Melihat kekuatan dialognya sehingga hari ini, generasi muda seperti saya mampu mengingatinya. Terima kasih kepada stesen televisyen kerana menayangkan filem-filem ini. Waktu kecil dahulu, persoalan yang sering timbul, adakah datuk dan nenek saya bertutur dalam slanga bahasa seperti dalam filem. Sangat berbeza dengan pertuturan seharian datuk dan nenek saya berbanding dialog dalam filem. Kemudian saya faham, kami orang Kedah, loghat lain sikit.

Seterusnya filem-filem tahun 90-an (tahun sebelumnya saya belum lahir dan tidak banyak diketengahkan karya 70-an dan 80-an). Dari segi pakaian, hiasan dalaman rumah, tata rias pelakon sangat berbeza. Kalau dahulu fesyen adalah seluar ketat warna-warna terang, cekak di rambut, rambut  pun masih kembang-kembang, sekarang ini kebanyakan watak moden memakai skirt ( ada yang sanagt pendek), rambut pun sudah tidak kembang lagi. Bahasa yang hampir sama : ROJAK

Dan hari ini, warga kota kebanyakannya berbahasa rojak. Kalau pun cuma tahu I, AND, YOU, SO. Kadang-kadang sangat kelakar. Kononnya ada kelas, tapi secara ilmiahnya, sangatlah menyakitkan. Saya terbayang-bayang, kalaulah mat salleh boleh faham apa yang diperkatakan mereka. " Kereta I warna biru", bukankah sepatutnya "My car". Pokok pangkalnya ROJAK ini telah merosakkan kedua-dua bahasa, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Yang dok cakap bahasa rojak ni kalau suruh pi sembang dengan mat salleh takut teketaq lutut,  tak tau hat lain dah.

Waktu di universiti, kelas saya cuma saya seorang Melayu, majoritinya orang putih. Kawan saya, Jordan fasih empat bahasa, ibunya tinggal di Afrika dan mereka sekeluarga pernah tinggal di China. " Hey I know how to count in Malay, satu,dua tiga" walaupun bunyi sangat pelat. Dan kebanyakan mat saleh ni belajar Bahasa Melayu di sekolah dan di kolej. Kita saja yang guna bahasa tidak pernah betul.

Sudah semestinya kita cintakan, bangga dengan bahasa kita. Tok sah dok tegeliat lidah, konon nampak hebat, mak tok tengok hudoh ja pon. Belajarlah Bahasa Inggeris, sampai fasih, boleh tulis tak salah tatabahasa lagi, baru ada kelas.