Sunday, March 20, 2011

Felix catus

Saya sangat sayang haiwan.  Kadang-kadang rasa kucing-kucing di rumah tu lebih menyayangi saya daripada saya menyayangi mereka.

Saya mempunyai dua ekor kucing; Yen dan Bah. Sangat unik dan dinamik. Yen diambil dari sebuah kedai makan, entah apa yang menarik sangat waktu makan tu tak tahulah. Lepas bayar dapat sekali cenderahati. Yen sangat manja, mengalahkan adik sendiri. Setiap malam saya perlu teman dan dodoikan dia tidur. Dan setiap malam dia akan merengek (baca: meaw...meaw) suruh saya bawa dia ke bilik saya. Kalau tak diikut apa yang diminta, habislah buku yang tengah dibaca, lebih teruk lagi kalau sedang menggunakan laptop, dia akan tidur di atas keyboard tanda protes. Berat Yen lebih kurang 6kg. Sangat berat dan tapi fizikalnya tidak gemuk. 

Bah adalah mangsa banjir baru-baru ni. Dia telah diselamatkan dan ditinggalkan di hadapan rumah saya. Keadaan kesihatannya sangat teruk waktu itu. Dia selsema, demam, batuk, segala macam penyakit. Kali pertama tengok, ingatkan betina, riuh-rendah seronok Yen dapat girlfriend. Dua kali tengok rupanya jantan, tersembunyi sikit. Dia tidak semanja Yen, tapi dia memiliki sifat-sifat yang hebat bagi kucing. Suatu hari tu, Yen telah dibelasah oleh seekor kucing jantan yang memonopolikan kawasan sekitar rumah saya. Habis badan Yen dipenuhi kekotoran termasuklah air kencing dan darah. Bah pergi kepada Yen dan menjilat bulu Yen yang kotor. Terharu tengok, mereka bukannya adik-beradik tapi kasih sayang Bah yang tiada tara. Lebih sedih lagi bila tengok Yen selalu tak mahu main dengan Bah. Maklumlah Yen kucing macho, Bah pulak kebudak-budakan. 

Satu lagi kisah kasih sayang Bah apabila seekor kucing betina di rumah saya telah melahirkan tiga ekor anak. Setiap kali si ibu makan (terpaksa meninggalkan anak-anaknya), Bah akan menjadi bapa saudara prihatin memastikan anak-anak kucing itu dalam keadaan baik. setiap hari Bah yang akan memandikan anak-anak kucing ini (mak kucing tengok je). Sangat unik bila seekor kucing jantan dewasa yang selalunya akan membunuh anak kucing, menjaga dan membelai anak-anak kucing tersebut.

Keadaan kesihatan Bah sekarang ini sangat membimbangkan. Dia alergic pada ikan, kalau tersalah bagi, habislah bawah ketiak dia akan bernanah. Dia selalu mendapat serangan sawan. Luluh hati tengok waktu dia bertarung nyawa ketika sawan. 

Saya menulis dalam kerinduan yang teramat pada kedua-dua kucing ini. Walhal jumpa selalu. Bunyi dan wajah pertama yang akan saya lihat pada setiap pagi adalah Yen dan Bah, kerana mereka jam loceng terbaik yang pernah saya ada. Tepat pukul 5.30 pagi mereka akan datang kejutkan dengan pelbagai cara (sampai tak sanggup lagi nak sambung tidur). Peliknya mereka hanya kejutkan saya seorang, sedangkan ada lagi empat orang yang amat menyayangi mereka di rumah saya. 

yang mana Bah? yang mana Yen?
cuba teka